Wednesday, December 19, 2012

Kaunselor Berdaftar (CR) Kurang


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Bilangan siswazah dalam bidang kaunseling yang berdaftar dan benar- benar mengamalkan profesion itu masih tidak mencukupi berbanding jumlah yang diperlukan negara pada masa ini iaitu seramai 60,000 orang.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kira-kira 2,000 siswazah yang menamatkan pengajian di dalam bidang itu tidak memasuki alam pekerjaan selari dengan kelulusan mereka di institut pengajian tinggi (IPT).
''Disebabkan itu, negara masih kekurangan kaunselor yang berdaftar. Kita masih perlukan kira-kira 60,000 kaunselor berdaftar di pelbagai peringkat termasuk IPT, kerajaan dan swasta,'' katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Persidangan Kebangsaan Kaunseling 2009 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Persatuan Kaunseling Malaysia (Pekama) di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi sedang mengkaji aspek-aspek penting dalam bidang tersebut terutama dari segi kokurikulum untuk melihat kesesuaiannya dengan bidang pekerjaan.
Katanya, sehingga kini hanya terdapat 1,865 orang kaunselor berdaftar di seluruh negara yang bertugas di sektor kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akademik dan swasta.
Terdahulu semasa berucap, Mohamed Khaled berkata, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling merupakan sektor penting dalam proses perkembangan dan kesihatan mental masyarakat.
''Ini terutama ketika masyarakat di negara ini mengharungi pelbagai bentuk cabaran kehidupan,'' katanya.
Menurutnya, sehingga kini terdapat 12 IPTA yang menawarkan program kaunseling dengan melahirkan 2,000 siswazah dalam bidang itu setiap tahun.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...