Wednesday, December 19, 2012

Ketahui Sejarah PERKAMA


Pada awal tahun 70-an peranan aktiviti persatuan dilakukan oleh Persatuan Vokasional dan Bimbingan Malaysia dan Persatuan Vokasional dan Bimbingan Selangor. Walau bagaimanapun kedua-kedua persatuan ini tidak dapat mengekalkan kegiatan mereka sehinggalah pendaftaran mereka terbatal mengikut akta Pertubuhan Persatuan.  Awal tahun 80-an beberapa kaunselor dan pengajar kaunseling mula memikirkan untuk menghidupkan perkhidmatan kaunseling bagi menjadikannya sebagai perkhimatan profesional.
Pada tahun 1980 sekumpulan kaunselor dan individu yang prihatin serta mempunyai minat yang tinggi dalam bidang kaunseling dan bimbingan di Malaysia telah mengadakan pertemuan di Institut Teknologi Mara (ITM) untuk mewujudkan Jawatankuasa Penaja yang kemudiannya menubuhkan Persatuan Kaunselor Malaysia (PERKAMA). Fauziah Elyas telah dipilih mengetuai jawatankuasa ini.  Pada 16 Januari 1982, Persatuan Kaunselor Malaysia telah didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan dan pada 1989 namanya ditukar kepada Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA). Pada tahun 2011, bersempena dengan konvensyen tahunan PERKAMA, persatuan sekali lagi menukar nama kepada Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (PERKAMA International) atas kapasiti memperkembangkan ahli ke pringkat antarabangsa. Tujuan utama persatuan ini ialah mengadakan satu asas profesional  sepunya  untuk kaunselor atau ahli profesional berkaitan di Malaysia, dari segi orientasi profesional dan semangat setia kawan.
Tujuan-tujuan profesional PERKAMA International ialah:
  1. Memajukan amalan kaunseling secara profesional.
  2. Menggalak dan membantu ilmu pengetahuan, kefahaman dan penerimaan kaunseling dalam konteks profesional ahli-ahlinya.
  3. Memajukan perkembangan profesional ahli-ahlinya.
  4. Memperteguhkan identiti, harmoni, dan kerjasama di kalangan ahli-ahli yang terdiri dari pelbagai disiplin melalui perkongsian maklumat dan pengalaman.
  5. Menyediakan sumber tenaga profesional dalam bidang kaunseling bagi membantu masyarakat dalam menangani isu-isu sosial dan kesihatan mental.

Keahlian PERKAMA International dibuka kepada  mereka yang berkelayakan dalam kaunseling dan bidang-bidang berkaitan. Mereka yang tidak mempunyai kelayakan yang disyaratkan, diterima sebagai ahli bersekutu atau ahli pelajar. PERKAMA International telah berkembang maju dari tahun ke tahun sejak penubuhannya, di bawah pimpinan Puan Sri Fauziah Alyas (1982-1983), Profesor Dato’ Dr. Amir Awang (1983-1984), (1989-1993), Prof. Dato’ Dr. Abdul Halim Othman (1984-1989) dan Dato’ Mohd Yunus Noor (1994-1999), Prof. Dato’ Dr. Muhamad Mansur Abdullah (2000 – 2003) Prof. Dr. Suradi Salim (2003 –2005) dan  Tan Sri Dato’ Dr. Nordin Kardi (2005 – sekarang) sebagai Presiden.
Sehingga 2011 sebanyak 17 konvensyen Nasional dan 1 konvensyen Antarabangsa telah diadakan di samping penerbitan-penerbitan profesional seperti Jurnal PERKAMA International, Suara PERKAMA International dan risalah-risalah lain demi untuk memajukan bidang kaunseling dan bimbingan di Malaysia. Ahli-ahli persatuan juga giat dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan dan perundingan, dan berusaha memantapkan keprofesionalisme dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling menerusi ETIKA kaunseling yang bertulis, latihan lanjutan dan penyelidikan.
Kini, PERKAMA International mempunyai seramai lebih kurang 5000 ahli  berdaftar (termasuk Ahli Seumur Hidup, Ahli Biasa, Ahli Bersekutu dan Ahli Pelajar). Jumlah ini tidak ramai memandangkan sudah beribu graduan yang keluar dari program kaunseling. PERKAMA International sedang berusaha menambahkan keahlian dan meningkatkan lagi pengiktirafan daripada pihak kerajaan dan majikan swasta tentang perkhidmatan kaunseling dengan cara mewujudkan jawatan-jawatan profesional dalam kaunseling untuk memberi perkhidmatan kepada kakitangan masing-masing.
Usaha PERKAMA International untuk mendapatkan pengiktirafan dari pihak kerajaan mula berhasil apabila satu jawatan Ketua Pegawai Psikologi dan Kaunseling dilantik di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 1992. Kini Pusat Perkhidmatan Psikologi di JPA memainkan peranan penting dalam menangani permasalahan kakitangan awam di tempat kerja. Perkembangan pesat negara kita ke arah masyarakat perindustrian dan perdagangan sudah pasti akan memerlukan perkhidmatan-perkhidmatan terkhusus seperti perkhidmatan kaunseling dan perkhidmatan pertolongan lain untuk menangani masalah-masalah sosial dan individu. Keprihatinan pihak kerajaan tentang keperluan kaunseling dan pengiktirafan yang wajar terbukti apabila AKTA KAUNSELOR 580 diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan pada 1hb. Disember 1998.  Ramai Ahli Majlis PERKAMA International yang terlibat dalam penggubalan akta ini dan Pengerusi Lembaga Kaunselor pertama dilantik oleh Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ialah Profesor Dato’ Dr. Abdul Halim Othman yang begitu banyak menyumbang kepada perkembangan profesion kaunseling di Malaysia.
Ini bermakna profesion kaunselor telah diiktiraf setanding dengan profesion-profesion lain seperti doktor, arkitek, jurutera dan peguam.  Cabaran-cabaran yang lebih besar akan menghadapi profesion ini pada masa-masa akan datang. PERKAMA International boleh menjadi sebuah persatuan profesional untuk memainkan peranan penting meningkatkan lagi perkhidmatan kaunseling di negara Malaysia.
Dari segi etika profesion kaunseling kini terdapat tiga etika yang dijadikan panduan untuk kaunselor. Etika terawal ialah yang digubal oleh PERKAMA 1983, diikuti oleh Etika Kaunselor Sekolah 1997 dan yang terbaru ialah Kod Etika Kaunselor (Lembaga Kaunselor, tt.). Ketiga-tiga etika ini dijadikan panduan amalan untuk kaunselor.
Kini setelah 33 tahun PERKAMA International, persatuan ini telah berjaya mencapai objektif penubuhannya. PERKAMA International akan terus bergerak ke hadapan dan merangka pelan hala tuju masa depan yang lebih gemilang demi melihat masyarakat Malaysia berada dalam keadaan sejahtera dan aman. Fungsi PERKAMA International kini bukan sahaja hanya untuk kaunselor dan ahli sahaja, namun telah menjadi sebuah badan penting kepada kerajaan dalam membantu kerajaan dalam menangani pelbagai isu sehingga ke peringkat antarabangsa.

AKTIVITI-AKTIVITI  UTAMA PERKAMA

  1. Pembangunan Profesional berterusan sejak 1982
  2. Penganjuran Seminar, Konferens, Forum, dan Bicara Profesional berterusan sejak 1982
  3. Penglibatan dalam program-program pembangunan insan pelbagai peringkat dan sasaran; Antara aktiviti-aktivitinya adalah seperti di bawah:

 2007
  • Mengadakan Konvensyen Kaunseling Kebangsaan PERKAMA 2007 “Ke Arah Meningkatkan Profesionalisme dalam Bidang Kaunseling” dengan kerjasama Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah Darul Aman pada 24 Julai 2007 hingga 26 Julai 2007 di Executive Development Centre dan Pusat Konvensyen Universiti Utara Malaysia.
  • PERKAMA juga dijemput untuk terlibat sama dalam menjayakan Simposium Peningkatan  Kemahiran Pendidikan Pencegahan Dalam Penyalahgunaan Dadah pada 12 September 2007 bertempat di Dewan Seminar SPADA, Kampus Kota USIM anjuran Program Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Peserta simposium seramai 200 orang disertai oleh semua guru-guru kaunseling di seluruh Lembah Kelang dan pegawai-pegawai dari Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK).
  • PERKAMA turut menganjurkan Bengkel Kaunselor Sekolah untuk semua guru-guru kaunseling sekolah sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Bahagian Pengurusan Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia pada 29 Oktober 2007 di Dewan Kuliah Pusat 4, Universiti Sains Islam Malaysia.
  • PERKAMA juga telah menjayakan Simposium Peningkatan  Kemahiran Pendidikan Pencegahan Dalam Penyalahgunaan Dadah pada 15 November 2007 bertempat di Dewan Kuliah Pusat 4, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) anjuran Program Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

2008
  • PERKAMA dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia dan Kolej Universiti HELP telah menganjurkan Clinical Supervision bertajuk “Competent Care: Developing Leadership in Supervision” yang dikendalikan oleh sepasukan professional dari USA melalui organisasi Crossing The Border, pada 11 – 14 Januari 2008
  • Bengkel Peningkatan Kemahiran Kaunseling anjuran PERKAMA telahpun dilaksanakan pada 16 Ogos 2008, bersempena Mesyuarat Agung Perkama Kali Ke-15, bertempat di Pujangga Puri, UKM, Bangi, Selangor.
  • Seminar Pembangunan Profesional Kaunseling Siri Ke-3: ‘Pengurusan Sistem Maklumat Klien’ telah diadakan pada 11 Oktober 2008, bertempat di UPM, Serdang, Selangor. Jumlah kehadiran adalah seramai 400 orang. Seminar ini merupakan anjuran bersama PERKAMA dan mahasiswa/i bidang Kaunseling, Universiti Putra Malaysia.
  • Kursus Asas Kaunseling Bagi Pegawai-Pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telahpun dilaksanakan oleh pihak PERKAMA pada 29 Oktober hingga 1 November 2008, bertempat di Hotel Equatorial, Bangi, Selangor. Kursus ini telah dikendalikan oleh Dr. Wan Abdul kader Wan Ahmad dan Dr. Meriam Omar Din.

2009
  • Menjadi co-host untuk menganjurkan  13th International Counseling and Social Work Symposium (ICSWS) bersama Universiti Sains Malaysia, Penang pada 6 – 7 Januari 2009 bertempat di Grand Plaza Park Royal Hotel, Penang.
  • Bengkel Pembinaan Kerangka Akreditasi Program Dan Perkhidmatan Kaunseling Profesional Persatuan Kaunseling Malaysia Siri 1/2009 pada 21 – 23 Januari 2009 (Khamis – Jumaat) bertempat di Rumah Peranginan Persekutuan, Cameron Highlands, Pahang.
  • Bengkel Kaunseling Kelompok: Realiti Terapi anjuran PERKAMA dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diadakan pada 21 Februari 2009 (Sabtu) bertempat di Dewan Sri Tanjung, UPSI.
  • Bengkel Kemahiran Asas Kaunseling Bagi Bakal Guru melalui Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) telah diadakan pada 2 Mac 2009 (Isnin) bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, N. Sembilan.
  • Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) dengan kerjasama mahasiswa Sarjana Kaunseling Keluarga dan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling Dengan Kepujian, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Bengkel Kaunseling Perkahwinan dan Seksualiti pada 28-29 Mac 2009 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

2010
  • PERKAMA dengan kerjasama UPM telah menganjurkan Seminar Kaunseling Silang Budaya di Dewan Utama, Fakulti Kejuruteraan UPM, pada bulan Mac 2010
  • PERKAMA dengan kerjasama UMT menganjurkan Konvensyen Kaunseling Kebangsaan: Inovasi dan Penyelidikan dalam Kaunseling, di Universiti Malaysia Teregganu, pada 12 -14 Jun 2010.
  • PERKAMA dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah mengadakan Kursus Asas Kaunseling akhir kepada staf Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada Ogos 2010.
  • PERKAMA dengan kerjasama Persatuan Kaunseling UM telah mengadakan Seminar Kaunseling UM dan Majlis Sambutan Aidilfitri PERKAMA pada September 2010 bertempat di Universiti Malaya
  • PERKAMA dengan kerjasama Pelajar Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah menganjurkan Seminar Sehari Memahami Remaja pada Oktober bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  • PERKAMA menganjurkan Bengkel Kebangsaan Kaunseling Perkahwinan dan Seksualiti 2010 bertempat di Universiti Putra Malaysia pada 2-3 November 2010.

  1. Penggubalan AKTA KAUNSELOR 1998.
  2. Penerbitan bahan bacaan dan rujukan professional ( Jurnal, Buku Ilmiah, Buletin, Prosiding)
  3. Pengendalian latihan-latihan pembangunan untuk pengamal dalam khidmat menolong
  4. Penglibatan konsultasi dalam agenda pembangunan negara

PEMIMPIN PERKAMA  2011/2013

Presiden
Y.Bhg. Tan Sri Dr. Nordin Kardi   – Pengarah dan Penyandang Kursi Za’ba, UPSI
Timbalan Presiden
Y.Bhg. Dato’ Dr. Ismail Alias – TKP (Operasi),  JPA
Setiausaha
Prof. Madya Dr. Abd Halim Mohd Hussin – Timb. Pengarah BPsK, JPA
Penolong Setiausaha –
Prof. Madya Dr. Rusnani Abdul Kadir – Ketua Jabatan Kaunseling, UPM
Bendahari
Y.Bhg. Prof. Dr. Zuria Mahmud – Fakulti Pendidikan UKM
Ahli Jawatankuasa Eksekutif
Dr. Ahmad Jazimin Jusoh – UPSI
En. Sadli Osman – JPA
Dr. Haslee Shahril Lim Abdullah – UM
Dr. Haniza Rais – UIAM
Pn. Ruhana Mahmod – Kementerian Kesihatan
Prof. Madya Dr. Mansor Abu Talib – UPM
Prof. Madya Dr. Ruhani Mat Min – UMT
En. Surenthiran Pilllai – UM
Pn. Norhayati Mad Noor – MARA
Pn. Salmiah Mohsyie – SMK Dengkil
Setiausaha Kerja
Kosong

Sumber : http://perkamatraining.com/latarbelakang/

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...