Saturday, December 14, 2013

Ramai Kaunselor Tidak Bertauliah


Port Dickson: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendedahkan kebanyakan kaunselor di jabatan kerajaan dan sekolah negara ini dikesan tidak berdaftar dengan Lembaga Kaunselor, sekali gus berstatus tidak bertauliah.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sejak 1998 hingga kini bilangan kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor yang direkodkan masih rendah iaitu 5,085 orang.

“Saya menyeru kepada semua kaunselor yang mempunyai kelayakan supaya tampil berdaftar dengan Lembaga Kaunselor iaitu bahagian di bawah KPWKM bagi membolehkan orang ramai mendapat perkhidmatan berkualiti dan profesional.
“Berikutan itu, tahun depan kementerian bercadang mengadakan konvensyen untuk semua kaunselor, sekali gus mengenal pasti berapa jumlah kaunselor di Malaysia,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pengendalian Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC), di sini, semalam. Menurutnya, kementerian tidak mengetahui jumlah sebenar kaunselor yang tidak berdaftar di seluruh negara.

“Ini kerana ia sangat penting berjumpa dengan kaunselor bertauliah atau berdaftar berikutan membabitkan kes berkait emosi seperti krisis dan trauma kerana ia bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh.

“Jika ada kesilapan dalam mengendalikan kes itu keadaan akan bertambah buruk dan boleh menyebabkan trauma berpanjangan,” katanya. Menurutnya, pada tahun depan KPWKM akan menyediakan latihan kemahiran dalam pengendalian kes krisis dan trauma kepada Perkumpulan Wanita (PERWANI) yang wujud di peringkat akar umbi.
“PERWANI akan bertindak sebagai kumpulan barisan depan bagi kes krisis dan trauma yang berlaku di tempat komuniti mereka sebelum dirujuk kepada kaunselor.

“Malah, kita akan bekerjasama dengan Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) bagi menyediakan latihan mengendalikan krisis dan trauma kepada ahli PERWANI,” katanya.
Sumber : Berita Harian & myMetro.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...