Thursday, December 20, 2012

Proses Kaunseling



Apakah proses yang berlaku apabila orang yang bermasalah berjumpa dengan kaunselor untuk meminta pertolongan?
           
Terdapat banyak pendapat daripada pelbagai ahli kaunseling dan psikologi berkenaan proses kaunseling seperti Lewis, (1972), membahagikan proses kaunseling kepada lima peringkat iaitu menentukan matlamat klien mendapatkan perkhidmatan kaunseling, menerangkan definisi dan proses kaunseling yang akan dilalui, memberi penerangan dan pemahaman mengenai keperluan klien, kemajuan ke arah mencapai matlamat, dan membuat kesimpulan serta perancangan  masa depan berdasarkan pengalaman klien mengikuti proses kaunseling.
Eisenberg & Delaney, (1977), pula membahagikan proses kaunseling kepada enam peringkat iaitu perjumpaan awal ice-breaking, penerokaan masalah klien dan pembinaan perhubungan yang menolong, menentukan matlamat, mengenalpasti dan menilai faktor-faktor yang berhubung dengan mencapai matlamat, membina dan melaksanakan satu pendekatan untuk mencapai matlamat, menilai pencapaian dan diakhiri dengan penamatan dan susulan.
Menurut Brammer, (1973), proses kaunseling mempunyai lapan peringkat yang perlu dilalui iaitu penyediaan dan kemasukan, penjelasan perlunya klien kepada kaunseling, menstruktur proses kaunseling selanjutnya, perhubungan mesra atau membina hubungan, penerokaan masalah klien, pengukuhan apabila klien mengamalkan kemahiran-kemahiran baru, perancangan yang rasional dan diakhiri dengan penamatan atau merumus pencapaian.
Menurut islam pula pada pandangan Imam al-Ghazali meletakkan sepuluh tahap dalam proses kaunseling iaitu Al-ta’arruf (pengenalan), Al-ta’rif (penerokaan masalah), Al-nahy bi al-wa’zi wa al-nush wa al-takhwif (tegahan melalui peringatan, nasihat dan amaran), Al-wa’zu wa al-nush (peringatan dan nasihat), Al-sab wa al-ta’nif (celaan dan kutukan), Al-taghyir bi al-yad (mengubah dengan tangan atau kekuasaan), Al-tahdid bi al-darb (member amaran dengan deraan pukul), Iqa’ al-darb wa tahqiqihi (melaksanakan deraan pukul), Shahr al-silah (mengisytiharkan peperangan/angkat senjata) dan Al-istizhar fi a’wan wa jam’i al-junud (menunjukkan kekuatan dengan mengumpul tentera.
Secara asasnya proses kaunseling dibahagikan mengikut tiga tahap iaitu fasa satu; Sebelum proses kaunseling (peringkat pra-persediaan), fasa dua; semasa proses kaunseling (peringkat penyediaan kemasukan, penetapan/penjelasan, menstruktur perhubungan, penerokaan, pengukuhan dan perancangan) dan fasa tiga; selepas proses kaunseling (peringkat penilaian, penyusulan, dan penamatan).
            Proses kaunseling pada peringkat permulaan memerlukan kaunselor mengkaji latar belakang klien.  Segala maklumat peribadi klien  perlu dikumpul secara teratur dan sistematik untuk memudahkan kaunselor tersebut memahami persoalan sebenar kliennya.  Di tahap ini, kaunselor tersebut perlu membentuk hubungan dan seterusnya memberikan pertolongan.
Pada awal sesi, seseorang kaunselor  haruslah menjadikan klien lebih selesa. Kaunselor perlu menyatakan tujuan pertemuan dengan jelas dan tekankan bahawa dirinya iaitu kaunselor sentiasa prihatin dan bersedia  membantu setakat yang terdaya.  Pada peringkat permulaan ini terdapat dua aspek utama yang perlu diberi penekanan oleh seseorang kaunselor iaitu tempat sesi kaunseling dijalankan dan tahap kemampuan kaunselor dengan klien.
Sebelum memulakan sesi kaunseling, kaunselor haruslah memikirkan dan menyediakan tempat serta menentukan masa yang sesuai untuk berbincang tanpa banyak gangguan.  Tempat yang selesa dan menarik akan menggalakkan klien tersebut merasa selesa untuk menghadiri sesi kaunseling dan seterusnya sesi tersebut dapat diadakan dengan jayanya. Peranan tempat yang sesuai ini penting supaya emosi klien tidak terganggu dengan keadaan tempat dimana sesi kaunseling dijalankan. Aspek ini penting supaya klien dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran tempat sesi berjalan dan memudahkan lagi proses kaunseling itu sendiri.
Aspek kedua yang perlu diberi penekanan oleh kaunselor ialah mengambil kira tahap kemampuan sama ada dirinya sendiri mahupun klien.  Kaunselor yang kelihatan letih akan menimbulkan rasa kurang yakin dalam kalangan  klien terhadap kaunselor. Selain dari itu, kaunselor harus peka akan tahap kemampuan klien. Ada  klien yang mungkin kelihatan letih, lemah dan malas untuk bekerjasama. Terdapat juga keadaan di mana tahap kemampuan kedua-dua pihak ini harus dititikberatkan sebelum memulakan sesuatu sesi kaunseling agar proses kaunseling dapat dijalankan dengan lancar.
Setelah kedua-dua aspek ini diberikan penekanan, kaunselor dan klien masing-masing bolehlah bersedia untuk memulakan proses kaunseling, persetujuan antara kedua-dua belah pihak adalah penting dalam proses kaunseling. Brammer (1973) menganggap persetujuan ini sebagai satu kontrak antara kaunselor dan kliennya serta sebagai tanda persetujuan tanda permulaan sesuatu proses kaunseling.  Persetujuan antara kontrak ini akan berubah pada bila-bila masa mengikut kehendak dan keadaan klien itu sendiri.
Seseorang kaunselor juga perlu mengetahui serba sedikit tentang maklumat klien bagi memudahkan proses kaunseling berlaku. Latar belakang klien amat penting bagi seseorang kaunselor sebelum memulakan sesi kaunseling kerana kaunselor perlu terlebih dahulu mengenal serba sedikit tentang profil kliennya. Dengan ini klien akan merasa bahawa kaunselor benar-benar serius mahu menolong klien menyelesaikan masalahnya. Namun begitu, kaunselor tidak perlu mengetahui secara terperinci tentang prolif kliennya kerana dikhuatiri klien tidak selesa dengan keadaan itu dan akan menimbulkan syak wasangka terhadap kaunselor. Keadaan ini perlu dielakkan supaya sesi kaunseling dapat berjalan dengan jayanya.
Contohnya, A merupakan seorang kaunselor dan B merupakan seorang klien. Kaunselor A perlulah mengenalpasti terlebih dahulu serba sedikit tentang profil klien B sebelum sesi kaunseling berlaku. Kaunselor A juga perlu meneliti tempat sesi kaunseling dijalankan supaya klien selesa dengan persekitaran lokasi sesi kaunseling itu berlaku.
            Setelah fasa satu berjaya, kaunselor boleh meneruskan proses kaunseling dengan fasa yang seterusnya iaitu fasa kedua. Fasa kedua dalam proses kaunseling mempunyai beberapa peringkat iaitu peringkat penyediaan kemasukan, penetapan/penjelasan, menstruktur perhubungan, penerokaan, pengukuhan dan perancangan. Setelah fasa kedua berjaya, kaunselor bolehlah meneruskan proses kaunseling ke fasa ketiga iaitu fasa penilaian, penyusulan dan penamatan.
Fasa kedua dalam proses kaunseling dimulakan dengan peringkat penyediaan kemasukan. Peringkat tahap ini, memerlukan kaunselor menemu bual secara minima klien yang menghadapi masalah.  Sewaktu memulakan temubual, seseorang kaunselor itu hendaklah menggunakan soalan-soalan yang tidak menakutkan serta mempamerkan perlakuan yang membantu.  Umpamanya perbuatan pertentangan mata dan kedudukan tubuh badan kaunselor tersebut hendaklah disesuaikan mengikut situasi. 
Jarak kedudukan antara kaunselor dan klien juga perlu diberi perhatian bagi memudahkan proses komunikasi.  Selain dari itu, keadaan tempat juga merupakan satu perkara yang penting dalam permulaan hubungan antara klien-kaunselor. Ini amat penting kerana suasana bilik yang tenang akan memberangsangkan dan menggalakkan klien untuk meluahkan perasaannya.
            Kaunselor juga perlu mempunyai sikap memahami dan menerima iaitu memberi peluang kepada klien untuk bercakap dan menyatakan apa yang terbuku dalam dirinya. Proses ini penting bagi membolehkan kaunselor bergerak ke peringkat yang seterusnya iaitu peringkat penetapan/penjelasan.
Pada peringkat ini, kaunselor akan cuba mendapatkan gambaran yang jelas tentang persoalan serta permasalahan yang dihadapi oleh klien serta menentukan matlamat kaunseling yang diperlukan mengikut kehendak klien. Biasanya terdapat dua cara yang boleh dilakukan iaitu jika klien mudah bercakap dan meluahkan segala isi hatinya, kaunselor akan terus mendorong klien tersebut untuk terus bercerita dan jika klien tersebut sukar untuk bercerita, maka kaunselor hendaklah bijak mengemukakan soalan-soalan yang terbuka agar menggalakkan klien tersebut untuk bercerita.
Kaunselor hendaklah mengelakkan pendekatan ‘soal-selidik’ kepada klien kerana ini akan menyebabkan klien tersebut merasa  terancam atau takut. Kaunselor haruslah mahir menggunakan pendekatan psikologi yang boleh menimbulkan suasana selesa, sayang, hormat dan terbuka. Kaunselor juga hendaklah menunjukkan sifat-sifat sebagai pendengar yang baik dan kritikal serta membantu klien jika menghadapi keadaan tersekat-tersekat sewaktu meluahkan pengalaman dan perasaanya.
Kaunselor juga haruslah dapat menggalakkan klien menghurai dan menentukan pernyataannya tentang bentuk dan jenis pertolongan yang dikehendaki.  Pada tahap ini, kaunselor juga harus mengamati dan menentukan siapa sebenarnya yang sedang menghadapi permasalahan tersebut iaitu sama ada diri beliau sendiri atau pun melibatkan orang lain. 
Pengetahuan dan kemahiran ini amat penting bagi membantu merangka alternatif ke arah penyelesaian. Pada peringkat ini, kaunselor sepatutnya sudah dapat merangkakan ketetapan untuk melihat matlamat klien.  Kaunselor juga sudah boleh mencungkil kehendak sebenar klien.
Peringkat seterusnya ialah peringkat penstukturan, kaunselor dan klien akan menetapkan sama ada perhubungan mereka itu boleh diteruskan atau tidak.  Kaunselor harus menilai dirinya sendiri sama ada beliau berkemahiran membantu klien, memenuhi harapan, berasa selesa dengan klien tersebut dan selanjutnya perlu atau tidak mengadakan kontrak kaunseling dengan klien. 
Bagi pihak klien juga sudah dapat menentukan sama ada kaunselor tersebut boleh dipercayai atau tidak dan bersediakah ia melibatkan diri serta menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh kaunselor itu nanti.
Tahap penstrukturan ini akan menentukan sifat, batasan dan matlamat perhubungan menolong. Kaunselor boleh memberitahu klien langkah-langkah yang diambil bagi menyediakannya  arah yang sedang dituju.
Kontrak kaunseling akan dibuat pada peringkat ini iaitu persetujuan antara kaunselor dan klien  bagi berusaha mencapai matlamat yang ditentukan serta bertanggungjawab untuk menepatinya. Dengan adanya kontrak ini klien akan merasa lebih komited menjalankan sesuatu tindakan untuk mencapai matlamat-matlamat yang ditetapkan. Seseorang kaunselor juga boleh membuat penamatan sesi jika kaunselor tidak dapat menyelesaikan masalah klien atau merujuknya kepada kaunselor yang lain sebagai klien yang dirujuk. Jika tidak peringkat seterusnya dalam proses kaunseling boleh diteruskan.
Kaunselor juga perlu mahir dalam peringkat perhubungan supaya sesi atau proses kaunseling itu berjalan dengan lancar. Peringkat ini penting supaya menimbulkan rasa selesa dalam kalangan klien supaya mereka tidak berasa terganggu dan terancam ketika sesi kaunseling berlaku. Antara perkara yang perlu diambil kira oleh seorang kaunselor ialah membina suasana alam sekeliling yang kondusif, jarak antara klien dengan kaunselor termasuk cara duduk dalam sesi kaunseling, penampilan diri, ekspresi muka atau wajah yang melibatkan emosi seperti marah, seyum, gembira dan lai-lain, mendengar apa yang dikatakan iaitu banyak mendengar dan memahami, tidak cepat membuat tanggapan dan penilaian serta menjaga nada suara.
Proses kaunseling juga memerlukan peringkat penerokaan iaitu kaunselor akan semakin mengenali klien terutamanya dari segi pendirian, matlamat dan juga strategi yang bakal diambil untuk membantu kliennya. Antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh kaunselor  di peringkat ini ialah terus mewujud dan mengeratkan hubungan agar wujud perasaan yakin, percaya dan selamat di pihak klien terhadap kaunselor, klien di waktu ini digalakkan untuk meneroka masalah dan perasaannya bagi mencapai kesedaran kendiri, kaunselor juga boleh memutuskan sama ada akan meneruskan hubungan sesi kaunseling ini atau menghentikannya atas sebab-sebab tertentu, dan kaunselor boleh memberi panduan kepada klien tentang kemahiran-kemahiran yang perlu bagi mencapai matlamatnya.
Kaunselor boleh memberikan aktiviti “kerja rumah” untuk klien bagi membolehkannya mencapai matlamat. Pada tahap ini, kaunselor harus lebih bersifat aktif, tegas dan cergas dalam tindakannya.  Kaunselor seharusnya semakin jelas tentang apa yang diperlukan oleh kliennya. 
Kaunselor juga perlu menggunakan segala kemahirannya untuk meneroka persoalan klien. Menurut Eisenberg dan Delaney (1977), peringkat ini merupakan proses  berlakunya komunikasi yang didorong oleh keikhlasan dan kejujuran serta berterus-terang terhadap peranan sebenar yang hendak dibincangkan antara kedua-dua pihak. 
Segala perasaan tidak logik, tidak rasional sama ada dalam diri kaunselor atau klien mestilah dikikis dan dihindari segera supaya tidak mengganggu pencapaian matlamat sebenarnya.  Perhubungan yang erat sangat penting untuk menimbulkan keyakinan sehingga klien dapat berasa bebas, selamat dan selesa serta terbuka dan sedia berkongsi perasaan dan masalah dengan kaunselor.
Proses kaunseling yang seterusnya ialah diperingkat pengukuhan. Pada peringkat pengukuhan ini, klien akan menjelaskan dengan lebih lanjut tentang perasaannya serta menentukan pilihan-pilihan yang boleh diambil olehnya.  Kemahiran-kemahiran baru juga perlu diamalkan.  Klien seharusnya telah benar-benar melibatkan dirinya secara langsung dan secara aktif di peringkat ini.  Seboleh-bolehnya, sesuatu pilihan telah dibuat, diterima dan diyakinkan serta disepadukan mengikut proses-proses yang telah dipersetujui bersama.
Contohnya, Kaunselor A telah membuat beberapa sesi dengan klien B dan kedua-duanya telah sepakat dan mencapai satu persetujuan berkenaan dengan tindakan seterusnya yang perlu dilakukan oleh klien. Jadi klien B, sudah tahu apa yang perlu dilakukannya selepas ini di peringkat sesi kaunseling yang seterusnya.
Proses kaunseling seterusnya berlaku diperingkat perancangan. Peringkat perancangan merupakan satu peringkat ketetapan dan kata muktamad kepada rancangan tindakan yang khusus.  Kaunselor seboleh-bolehnya menolong kliennya merancang strategi-strategi yang hendak diambil termasuk langkah-langkah perlaksanaan strategi tersebut. Peringkat ini lebih merupakan peringkat memperjelaskan matlamat yang diharapkan oleh klien dan menyesuaikannya dengan tindakan yang bakal diambil. Di tahap ini, proses perancangan sudah hampir kepada tahap penyelesaian.
Peringkat ini menunjukkan bahawa klien sudah mempunyai matlamat sendiri dan telah pun tahu tindakan apa yang perlu dilakukannya. Perinkat ini merupakan peringkat terakhir dalam fasa dua dan sudah pun hampir ketahap penyelesaian.
Fasa yang terakhir ialah fasa tiga iaitu peringkat penilaian, penyusulan dan penamatan. Kebiasaannya kaunselor yang telah berjaya melalui proses kaunseling di fasa satu akan terus bergerak ke fasa tiga untuk menamatkan proses kaunseling yang dijalankan bersama klien. Namun begitu, kaunselor juga boleh membuat penyusulan terhadap kes klien jika itu difikirkan perlu oleh seseorang kaunselor.
Peringkat ini merupakan tahap pencapaian keputusan.  Lazimnya satu penamatan sesi dicapai melalui persetujuan pihak kaunselor dengan klien. Di peringkat ini hasil atau pencapaian klien akan dirumuskan. Jika masih terdapat matlamat-matlamat yang tidak tercapai, maka sebab-sebabnya haruslah dikenal pasti.  Di peringkat ini pihak klien seharusnya sudah berpuas hati  dengan  proses kaunseling.
Sebaliknya jika klien tidak mahu lagi meneruskan sesi, maka klien tersebut bolehlah merujuk kepada kaunselor atau pakar-pakar lain.  Penamatan juga boleh berlaku jika kaunselor mendapati klien tidak mahu bekerjasama, tidak mahu berubah atau pun atas permintaan klien sendiri. 
Menurut George & Cristiani, (1981) seorang kaunselor harus belajar menamatkan sesi kaunseling dengan berkesan. Dia harus biasa dengan isu-isu dan kemahiran yang terlibat secara langsung dalam proses penamatan temuduganya bagi menamatkan hubungan dalam kaunselingnya itu. Dalam situasi ini kaunselor seharusnya telah memberitahu kliennya bila sesi itu akan berakhir di awal lagi. Penamatan sesi yang mengejut dan mendadak boleh memberi reaksi dan emosi negatif kepada klien.
Menurut Maznah Baba & Zainal Madon (2003) terdapat beberapa panduan untuk menamatkan sesi iaitunsebelum menamatkan sesi , kaunselor perlu membuat rumusan perkara yang dibincangkan sepanjang sesi yang lepas dan memberi tugasan yang sesuai atau menyatakan apakah rancangan dan perkara fokus pada sesi akan datang dengan memberi ingatan dan dorongan kepada klien melaksanakan tugasan yang diberi seterusnya memberi ruang kepada klien menerus atau menamatkan sesi dan merancang temu janji akan datang. Kaunselor yang professional tidak mengalami kesukaran untuk menamatkan sesi kaunseling dan bertindak dengan mudah seperti mengubah sedikit kedudukannya atau meletakkan tangannya di atas birai kerusi atau menyandarkan belakangnya jauh daripada klien. Semua ini member gambaran kepada klien bahawa kaunselor tidak berminat untuk meneruskan sesi tersebut.
Dapatlah dirumuskan bahawa peringkat penamatan ini merupakan peringkat penilaian kaunselor terhadap keberkesanan strategi atau teknik yang telah diaplikasikan terhadap kliennya.  Sebaliknya, jika tidak berkesan, mungkin sesi dan tindakan susulan akan diteruskan. 
Walaupun proses kaunseling sudah ditamatkan, ini tidak bererti hubungan antara kedua-duanya akan terputus langsung.  Sebaik-baiknya adalah digalakkan supaya kaunselor mengikuti perkembangan klien yang pernah dibantunya. Penamatan dalam konteks ini hanya merupakan pemberhentian proses kaunseling sahaja.
Oleh itu, kaunselor disarankan membuat penyusulan sama ada melalui jangka pendek iaiti tiga hingga enam minggu atau melalui jangka panjang iaitu sekurang-kurang selepas enam bulan penamatan. Kebiasaanya terdapat empat cara untuk membuat penyusulan iaitu menjemput klien ke sesi untuk membincangkan kemajuan berterusan dalam memenuhi matlamat yang ingin dicapai, melalui telefon, klien boleh melaporkan kepada kaunselor secara verbal, kaunselor menghantar surat kepada klien bertanyakan perkembangan terkini dan kaunselor menghantar kepada klien soal selidik  berkenaan dengan tahap kefungsiaan terkini klien dan ini dilakukan menerusi pos.
Jelas di sini bahawa proses menamatkan sesi pertemuan pertama ini merupakan satu penilaian  terhadap kaunselor yang cuba melihat sejauh manakah peranan kliennya selepas dia menetapkan strategi yang bakal diambilnya. Dari sini dapatlah dinilai sama ada perkhidmatan yang telah diberikan dan proses pertemuan itu berjaya dan bermanfaat atau sebaliknya. Justeru itu, mereka boleh mengukur adakah mereka sama-sama telah memenuhi kehendak masing-masing atau jika sebaliknya  adakah mereka telah menetapkan langkah seterusnya bagi sesi yang akan datang.

-Muhammad Ilyas bin Zambri- (Cr. GIK)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...