Setiap individu mungkin pernah
menghadapi situasi kehilangan orang yang disayangi. Malah ia mungkin boleh
dikategorikan sebagai pengalaman paling buruk dalam sejarah hidup seseorang
itu. Kematian orang yang tersayang boleh menimbulkan pelbagai keadaan dan
perasaan yang bercampurbaur. Reaksi kepada situasi ini dikenali sebagai
berkabung. Berkabung merupakan satu reaksi yang sihat dan semula jadi di dalam
menghadapi kematian orang yang kita sayang. Setiap individu melalui saat
berkabung dengan cara yang berbeza. Reaksi dalam proses berkabung dipengaruhi
oleh cara kematian itu terjadi sama ada ianya secara mengejut atau selepas
sakit yang berpanjangan, serapat mana perhubungan antara individu dengan si
mati, personaliti individu dan kemahiran menangani masalah atau situasi,
pengalaman hidup individu yang mengalami saat kehilangan, dan jalinan sokongan
ahli keluarga dan orang sekeliling.
Menurut Elisabeth Kubler-Ross,
terdapat 5 peringkat kematian yang akan dialami oleh menusia sebelum kematian
iaitu tahap penyangkalan (denial), tahap marah (anger), tahap tawar-menawar
(bargaining), tahap depresi (depression) dan tahap penerimaan (acceptance).
Kelima-lima tahap menurut Elisabeth Kubler-Ross mempunyai satu tindakan emosi
yang menyebabkan individu terbabit menjadi lemah, lesu, stress dan sebagainya
dalam menghadapi kehilangan orang yang tersayang. Oleh itu, terdapat beberapa
cara bagi mengelakkan atau menangani kehilangan orang tersayang ini mengikup setiap
tahap.
Seseorang individu yang berada di
tahap penyangkalan (denial) akan mengalami beberapa perubahan seperti kelihatan
mudah keletihan, pucat, gelisah, degup jantung bertambah, mual serta sesak
nafas. Peringkat ini individu terbabit tidak dapat menerima hakikat kematian
yang telah berlaku. Oleh itu, cara yang difikirkan terbaik untuk menangani
kehilangan orang yang tersayang di peringkat ini ialah dengan meluahkan kepada
rakan-rakan atau saudara terdekat sehingga anda percaya bahawa kematian itu pasti
dan anda boleh menerima hakikat kematian itu. Sekiranya rakan-rakan anda sudah
mula penat mendengar cerita anda, anda boleh berkongsi cerita itu dengan ahli
agama, kaunselor atau ahli terapi. Dengan meluahkan segalanya, anda pasti lama
kelamaan akan menerima kehilangan orang tersayang itu.
Anda juga boleh menanganinya dengan
melihat wajah atau tubuh arwah atau si mati buat kali yang terakhirnya dan
mengikuti keseluruhan proses pengkebumian supaya anda boleh menerima kenyataan
kehilangan orang yang tersayang. Anda juga digalakkan mencari dan mengumpul
maklumat yang sebanyaknya berkenaan punca kematian daripada pihak polis, doktor
dan sebagainya supaya anda lebih yakin dengan kehilangan itu. Mungkin anda
tidak boleh menerima sebab kematian orang yang tersayang seperti mati dibunuh
atau terlibat dengan kemalangan ngeri. Oleh itu, dapatkan maklumat dan fakta
yang tepat dan berguna supaya anda dapat menerima kehilangan tersebut.
Kemudian, kenal pasti perasaan anda sama ada masih lagi tidak boleh menerima
kehilangan terbabit atau tidak. Sekiranya tidak, pastikan anda bersedia dengan
keadaan yang memungkinkan anda menderita. Oleh itu, berfikiran positiflah dan
terima ketentuan yang telah ditakdirkan.
Tahap marah (anger) pula menunjukkan
tanda-tanda wajah kemerah-merahan, kurang tidur dan gelisah. Individu yang
berada di tahap ini akan membuat satu penilaian terhadap sesuatu yang dirinya
sendiri tidak berpuas hati. Individu yang sudah boleh menerima keadaan
kehilangan tidak akan berada di tahap ini. Sewajarnya, individu yang berada di
tahap ini diberi peluang sehingga kemarahannya reda dan kemudian tulis pada
satu kertas berkenaan punca dan sebab kemarahannya itu. Selepas menyenaraikan
segalanya, pastikan emosi pada waktu itu sudah terkawal dan seterusnya cuba perbetulkan
apa yang hendak dibetulkan dalam senarai yang telah dibuat tadi.
Individu yang berada di tahap ini
tidak memerlukan nasihat kerana nasihat baginya adalah satu bentuk penilaian.
Oleh itu, langkah yang dinyatakan diawal tadi berkesan bagi individu seperti
ini. Seperti contoh, kes yang berlaku kepada adik Nurin yang telah dibunuh
dengan kejam. Ayahnya pasti marah dengan tindakan pembunuh. Namun, kemarahannya
reda sedikit kerana dia juga menyesal kerana melepaskan anaknya keluar
berseorangan bermain di luar rumah. Keadaan ini membuatkan ayahnya marah kepada
pembunuh dan dalam masa yang sama marah kepada diri sendiri, mungkin. Keadaan
ini membuatkan ayahnya berfikiran seandainya dia dapat menghindari kehilangan
ini atau pun seandainya dia dapat balik kemasa lalu pasti dia akan menghalang
anaknya daripada keluar bermain di luar.
Di sinilah bermulanya tahap tawar-menawar
(bargaining). Pada tahap ini, individu akan mula berasa salah atas tindakan
lalu mereka. Individu yang terlibat akan mula mengeluarkan perasaan seandainya,
jika dan sekiranya perkara yang telah berlaku dapat dielakkan atau dihindarkan.
Hakikatnya, tahap ini tidak langsung memberikan penyelesaian terhadap masalah
yang dia hadapi. Bagi menghindari masalah ini, individu terbabit digalakkan
supaya mengelakkan diri daripada mengenang peristiwa lepas. Mengingati
peristiwa lepas dalam keadaan tawar-menawar ini hanya akan membuatkan anda
menjadi bertambah stress. Kejadian yang lepas hanya akan membuatkan anda
menjadi lebih tertekan. Oleh itu, cara terbaik untuk menangani kehilangan orang
tersayang di tahap ini adalah dengan mengelakkan diri dari mengenang peristiwa
lepas.
Cara lain yang terbaik adalah dengan
bersedia memaafkan diri sendiri. Dalam keadaan ini, individu tersebut akan
merasa bersalah kerana tindakan lepasnya. Oleh itu, anda perlu bersedia
memaafkan diri sendiri walau sebesar mana pun
kesalahan yang anda lakukan anda pelu memaafkannya supaya anda tidak
dibebani dengan rasa bersalah seumur hidup dan akhirnya akan menjejaskan kehidupan
anda. Dalam masa yang sama anda perlu cuba perbaiki kesalahan yang telah anda
lakukan sekiranya mampu seperti mengubah sikap dan sebagainya. Hanya dengan
itu, anda akan berpuas hati dengan apa yang anda lakukan. Seterusnya anda
bolehlah mengambil iktibar dan pengajaran daripada pengalaman lepas supaya
dengan itu anda tidak mengulangi keadaan yang sama dengan apa yang telah anda
lakukan sebelum ini.
Tahap depresi (depression) akan
menyebabkan individu akan berputus asa dan sentiasa dalam keadaan murung (tidak
bermaya). Ini disebabkan mereka berhadapan dengan perasaan yang sangat sedih,
takut, kesal dan sedikit sebanyak mereka tidak dapat menerima hakikat pada
awalnya dan selalu bersendiri. Cara terbaik bagi menangani masalah di tahap ini
adalah dengan kurangkan mengingati orang yang telah pergi dan berkongsi cerita
dengan orang lain. Dengan ini, dapat mengelakkan anda dari depresi terhadap
kehilangan orang yang tersayang. Perkongsian cerita akan membuatkan anda lega
dan elakkan topik yang akan membuatkan anda menjadi semakin stress seterusnya
mengalami depresi.
Melihat foto-foto lama juga berkesan
kerana anda akan mengenang satu kisah atau cerita yang sangat menarik sehingga
anda tertawa mengenangkannya. Anda juga boleh berkongsi cerita ini dengan keluarga
dan rakan-rakan. Pastikan anda mengenang peristiwa yang menarik dan berharga
sahaja kerana anda akan gembira dan tersenyum mengenangkannya. Elakkan dari
mengenang peristiwa yang membuatkan anda rasa kecewa dan putus asa kerana anda
akan bertambah depresi.
Bagi menangani kehilangan orang
tersayang di tahap ini juga anda boleh melakukan pelbagai perkara yang
bermanfaat dan berfaedah. Dengan membuatkan diri anda sentiasa sibuk dalam
menguruskan kehidupan harian anda pasti akan lupa pada depresi berkenaan
kehilangan orang yang tersayang. Lakukan pelbagai aktiviti yang dirasakan perlu
dan pastikan aktiviti itu tidak membuatkan anda lagi bertambah stress
seterusnya depresi. Anda juga digalakan supaya tidak mengambil arak sebagai
jalan penyelesaian dalam masalah depresi. Kenyataan bahawa arak mampu
menghilangkan depresi dan tekanan adalah salah sama sekali. Sebaliknya, hanya
akan mendatangkan masalah kepada anda seperti masalah kesihatan.
Mendapatkan sokongan daripada kumpulan yang sama iaitu golongan yang
menghadapi masalah depresi juga akan membantu anda kerana mereka mempunyai
pengalaman yang sama dan anda boleh bertukar-tukar padangan dan idea sesama
sendiri bagi tujuan pemantapan diri anda. Pastikan kumpulan yang anda cari
merupakan kumpulan yang betul-betul boleh memberi sokongan dan bukan orang yang
akan membuatkan anda menjadi bertambah depresi.
Tahap yang terakhir ialah tahap
penerimaan (acceptance). Tahap ini berkaitan
dengan reorganisasi perasaan kehilangan. Individu
akan menyedari bahawa hidup mereka harus diteruskan dan mereka harus mencari
makna baru dari keberadaan mereka. Fikiran
yang selalu terpusat pada objek atau orang yang hilang akan mulai berkurang
atau menghilang. Individu telah menerima kenyataan kehilangan yang
dialaminya, gambaran tentang objek atau
orang yang hilang mulai dilepaskan dan secara bertahap perhatian dialihkan
kepada objek yang baru (Suliswati, 2005).
Individu yang
berada di tahap ini kebiasaanya telah dapat menerima segala yang telah terjadi
terhadap dirinya. Individu terbabit telah mula menerima kehilangan orang yang
tersayang walaupun pada permulaannya merasa berat untuk melepaskannya. Pada
tahap ini juga segala masalah yang dihadapi dahulu telah dapat diselesaikan dan
emosi individu yang terlibat menjadi stabil dan selesa.
Kesimpulannya,
individu terlibat perlu mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga,
rakan-rakan, masyarakat setempat dalam proses menangani kehilangan orang yang
tersayang. Individu yang menghadapi masalah kesihatan mungkin boleh mengambil
ubat untuk sembuh tetapi bagi menangani masalah kehilangan orang yang tersayang
ubat tidak mampu menyembuhkannya melainkan sokongan daripada pelbagai pihak.
-Muhammad Ilyas bin Zambri- (Cr. GIK)
0 comments:
Post a Comment