Thursday, December 20, 2012

Apa yang menyebabkan orang mencari pertolongan daripada orang lain?


     
      Manusia mempunyai ciri-ciri yang unik sehingga menyebabkan manusia dalam kehidupannya memerlukan bantuan daripada orang lain. Menurut Gibson dan Mitchell dalam buku “Introduction to Counseling and Guidance” meletakkan tujuh ciri yang menyebabkan orang mencari pertolongan daripada orang lain. Ciri-ciri semula jadi ini membawa kepada perkembangan perkhidmatan menolong dalam masyarakat.
            Ciri yang pertama ialah manusia bersifat lemah sewaktu dilahirkan. Sifat manusia sememangnya berbeza daripada kehidupan lain seperti haiwan. Dari segi teorinya manusia dilahirkan tanpa mempunyai tingkahlaku yang tersemat dalam dirinya secara genetik berbanding dengan kehidupan lain. Haiwan misalnya boleh terus hidup tanpa bantuan haiwan dewasa lain, terutama haiwan liar. Hal ini berbeza dengan manusia yang  pada peringkat permulaannya memerlukan bantuan sepenuhnya oleh manusia dewasa.
            Manusia pada peringkat awalnya memerlukan kasih sayang dan jagaan dan sejauh mana ia diberikan menjadi asas kritikal kepada penyesuaian sepanjang hidup atau ketiadaan penyesuaian untuk manusia itu. Penjagaan dan kasih sayang yang diberikan ini merupakan satu bentuk bantuan manusia kepada manusia yang lain. Bayi yang baru lahir misalnya memerlukan bantuan, jagaan dan kasih sayang daripada ibunya. Begitu juga dengan manusia yang lain, mereka juga memerlukan bantuan daripada manusia yang lain tidak kira pada peringkat usia mana pun situasi mencari pertolongan ini tetap akan wujud dalam diri seseorang manunia.
            Situasi sebegini tidak akan lari daripada seorang manusia kerana manusia itu sendiri secara semula jadinya lemah sewaktu dilahirkan dan ciri inilah yang menyebabkan perkhidmatan menolong diperlukan sama sekali. Manusia tidak akan hidup secara sempurna atau kemungkinan akan mati jika tidak dibantu dari awal lagi. Hal ini demikian kerana ciri semula jadi manusia yang lemah sewaktu dilahirkan. Oleh itu, manusia perlu dibantu sepenuhnya sejak waktu dilahirkan sehingga dewasa  berbeza dengan spesies-spesies yang lain.
            Seterusnya, manusia mempunyai potensi paling tinggi untuk tumbuh dan berkembang dibandingkan dengan spesies lain. Manusia merupakan satu-satunya spesies yang unik yang diciptakann tuhan dan mempunyai potensi untuk tumbuh dan berkembang menjadi yang lebih baik. Hal ini demikian kerana manusia mempunyai akal jika dibandingkan dengan spesies yang lain. Oleh itu, manusia mampu mengawal segala tindak tanduknya dalam sesuatu situasi.
Otak manusia dari masa dilahirkan sehingga dewasa mampu membesar sebanyak tiga kali ganda dalam saiz dan berlipat kali ganda dari segi kapasiti. Kuasa otak ini, bersama dengan tenaga yang banyak, memberikan manusia kemungkinan yang boleh dikatakan tiada hadnya. Pemenuhan potensi manusia ini hanya boleh berlaku dengan pertolongan orang lain. Namun begitu, perkembangan potensi manusia itu tidak bergantung semata-mata kepada individu itu sendiri tetapi juga bergantung kepada banyak pembolehubah persekitaran dan bantuan dalam mengenali dan mengembangkan potensi seseorang.
Pertumbuhan dan perkembangan potensi manusia ini tidak akan berlaku tanpa bantuan orang lain kerana manusia bukanlah satu spesies yang sempurna dari segi personaliti dan tingkah lakunya. Meskipun begitu, keadaan ini tidak menghalang manusia untuk tumbuh dan  berkembang dari potensi dirinya. Keadaan ini berlaku dengan bantuan daripada orang lain dalam membentuk dan mencorak manusia itu sehingga mencapai satu tahap potensi yang membanggakan diri.
            Contonya, seseorang itu mempunyai potensi diri untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat tetapi mempunyai satu halangan dalam diri iaitu kurang keyakinan terhadap dirinya sendiri. Potensi diri  ini boleh dikembangkan dengan bantuan orang lain melalui pelbagai cara seperti seminar keyakinan diri dan berlatih untuk mendapatkan keyakinan diri. Semua ini hanya dapat dilakukan dengan bantuan orang lain kerana manusia itu sendiri merupakan spesies yang lemah dan memerlukan bantuan untuk mengembangkan potensinya sendiri.
            Selain itu, manusia mempunyai kemahiran berkomunikasi ditahap paling tinggi iaitu tahap kemahiran yang membolehkan manusia menyatakan pemikiran mereka dengan mendalam atau dengan panjang lebar kepada orang lain, mengajarkan bahasa dan merekod, menghantar dan menerima bahasa itu sendiri. Komunikasi merupakan satu bentuk perhubungan yang amat diperlukan dalam kehidupan manusia. Bagi mencapai tahap komunikasi yang tinggi ini manusia memerlukan bantuan daripada orang lain.
            Manusia pada tahap awalnya tidak boleh berkomunikasi secara berkesan. Namun begitu, manusia mempunyai potensi tinggi untuk menguasai komunikasi dengan bantuan orang lain. Menjadi satu kebiasaan manusia akan mempelajari sesuatu dahulu sebelum menggunakannya sama seperti mempelajari bahasa. Melalui bahasa ini, manusia boleh berkomunikasi ditahap yang paling tinggi sehinggakan dirinya sendiri mampu menyatakan pemikiran yang lebih mendalam dan mengajarkannya kepada orang lain. Malah mampu merekod, menghantar dan menerimanya.
            Keupayaan ini dilihat sebagai satu kemahiran yang amat diperlukan oleh manusia untuk membolehkan satu perhubungan berjalan dengan kemahiran berkomunikasi. Perhubungan dengan orang lain adalah merupakan intipati kepada kehidupan yang sejahtera, gembira dan bertambah baik. Dengan adanya perhubungan ini, proses membantu antara satu sama lain dapat berjalan berlandaskan kemahiran komunikasi yang tinggi yang dimiliki oleh seseorang manusia.
            Contohnya, seseorang manusia yang memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi ini dapat menyuarakan segala pendapatnya dengan lebih terperinci dan sekaligus membantu orang lain berfikir dan memikirkan apa yang dikatakan sebagai satu bentuk pertolongan yang membolehkan dia memperbaiki diri sendiri dan mengembangkan potensi diri yang ada dalam dirinya. Semua ini hanya berlaku dengan pertolongan orang lain melalui kemahiran komunikasi yang tinggi dalam diri yang mendorong kepada perkhidmatan menolong.
            Manusia juga menunjukkan perbezaan individu yang luas dibandingkan dengan spesies lain. Perbezaan ini jelas menunjukkan perbezaan antara seseorang individu dengan individi lain tetapi juga melipatkan potensi masyarakat dan merangsangkan kemajuan peradaban. Konsep perbezaan individu memberikan asas yang logik kepada penganalisisan klien dalam profesion menolong.
            Setiap manusia mempunyai kelebihan yang berbeza-beza mengikut kemahiran dan kebolehan yang dimiliki oleh seseorang itu. Disebabkan inilah manusia itu berbaza antara satu sama yang lain. Perbazaan ini akan membuatkan manusia menjadi lebih tercabar dengan kebolehan yang tidak dimilikinya. Oleh itu, manusia akan cuba mengembangkan potensi diri dan melipatkaligandakan usahanya untuk mencapai tahap yang diinginkan.
            Bagi mencapai tahap ini manusia memerlukan bantuan orang lain supaya dia dapat memperbaiki kelemahan dirinya sendiri. Secara semula jadinya perbezaan individu itu sendiri telah membantu manusia memperbaiki dirinya kepada yang lebih baik. Perbezaan yang dimaksudkan ialah kelebihan yang tidak dalam diri orang lain atau kemahiran yang lebih baik dari apa yang dimilikinya. Perbezaan inilah yang menunjukkan perbezaan individu dengan individu yang lain.
            Contohnya, seseorang memiliki kemahiran yang lebih tinggi daripada orang lain dan kemahiran itu tidak ada dalam diri individu lain. Individu yang lain ini akan rasa tercabar dan merasakan dirinya perlu melakukan perubahan dan peningkatan kepada apa yang telah dimikilinya. Situasi ini sebenarnya adalah satu situasi sebenar masyarakat dan inilah yang menyebabkan kepada kemajuan peradaban dan wujudnya perkembangan menolong dalam masyarakat.
            Ciri lain ialah manusia memanipulasi dan dimanipulasikan oleh persekitaran mereka. Ciri ini merupakan salah satu ciri semula jadi manusia yang membentuk perkembangan perkhidmatan menolong. Sifat ini menyebabkan tingkah laku manusia tidak dapat difahami dengan lengkap jika diasingkan daripada konteks persekitaran dalam lingkungan dimana ia berlaku. Jadi, analisis persekitaran adalah menjadi bertambah penting kepada kaunselor profesional.
             Manusia secara semulajadinya memanipulasi dan dimanipulasikan oleh persekitaran mereka. Sifat manusia ini dipengaruhi oleh persekitaran yang mendorong mereka memanipulasikan keadaan dan adakalanya manusia itu sendiri dimanipulasikan  oleh keadaan. Sifat manusia yang unik inilah yang membuatkan perkembangan kepada perkhidmatan menolong.
            Contohnya, manusia memanipulasikan persekitaran dengan penggondolan bukit bagi tujuan pembangunan untuk kebaikan masyarakat setempat namun hasil daripada penggondolon bukit itu  manusia pula dimanipulasikan oleh persekitaran seperti tanah runtuh, banjir kilat dan sebagainya yang mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan manusia. Situasi ini menunjukkan bahawa manusia memanipulasi dan dimanipulasikan oleh persekitarannya.
            Berdasarkan kepada ciri yang unik inilah berlaku perkembangan kepada perkhidmatan menolong yang memudahkan manusia dalam menyelesaikan segala masalah yang dihadapinya tanpa mengharunginya bersendirian.
            Selain itu, Manusia adalah satu-satunya organisme hidup yang boleh menangkap dan merakamkan arus masa. Manusia berkemampuan untuk mengingati apa yang berlaku pada masa lepas, bertindak pada masa ini dan merancang untuk masa hadapan. Keadaan ini memberikan manusia kebolehan membina di atas pengalaman lepas, mengelakkan kesilapan pada masa lepas, menjangka apa yang berkemungkinan berlaku pada masa hadapan dan merancang untuk perkembangan pada masa hadapan.
            Sifat manusia ini sememangnya unik kerana manusia sahaja satu-satunya spesies yang mampu menangkap dan merakam arus masa. Keadaan ini semua berlaku atas akal yang ada pada manusia dan pengalaman lepas yang mengajar manusia tentang sesuatu yang mampu mematangkan pemikiran dan tindakan manusia selepas itu. Berikutan daripada itulah wujud perkembangan kepada perkhidmatan menolong supaya manusia mampu menggunakan kemahiran dan kebolehan yang ada dengan sempurna.
            Kekuatan ingatan manusia mampu menangkap dan merakam arus masa. Namun begitu bukan semua manusia yang memiliki kekuatan ingatan yang kuat. Terdapat juga segelintir manusia yang tidak memiliki ingatan yang kuat untuk menangkap dan merakam arus masa. Oleh sebab itulah wujud perkhidmatan menolong untuk membantu golongan ini dan sekaligus menunjukkan perkembangan dalam perkhidmatan ini.
            Contohnya, seseorang itu mempunyai pengalaman yang teruk pada masa lepas iaitu menghadapi kegagalan dalam perhubungan. Berdasarkan pengalaman manusia itulah dia menangkap dan merakam pengalamannya supaya dia tidak melakukan kesalahan yang sama di masa hadapan dan boleh mengelakkan diri daripada perkara yang tidak diingini berlaku. Manusia juga boleh merancang sesuatu untuk kebaikannya pada masa hadapan berdasarkan pengalaman yang dilaluinya.
            Ciri semula jadi yang terakhir yang menyebabkan orang mencari pertolongan orang lain ialah manusia mempunyai kebolehan untuk mentaakul dan memperolehi celek akal. Kedua-dua faktor ini membolehkan manusia membuat pemilihan yang beralasan di antara alternatif yang ada dan untuk perubahan. Manusia memiliki akal supaya dia dapat menimbang segala pemilihan yang ada untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam pemilihan  yang dibuat itu. Namun begitu, manusia tidak akan dapat membuat keputusan tanpa menimbang segala kemungkinan yang akan berlaku. Kemungkinan inilah yang merupakan batuan yang diberikan oleh orang lain degan memberikan pendapat dalam proses membuat keputusan.
            Berdasarkan ciri semula jadi manusia tadi iaitu kebolehan untuk mentaakul dan memperoleh celek akal menjadi satu cara kepada manusia untuk membuat satu keputusan berdasarkan kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku. Setiap daripada kemungkinan  itu akan dipertimbangkan dan dinilai sebelum sesuatu keputusan dibuat.
            Contohnya, seseorang itu hendak membuat keputusan tentang kehidupannya dalam kerjaya. Orang itu memimbangkan segala kemungkinan  yang ada dan kemungkinan itu dinilai satu persatu berdasarkan pendapat dan naluri hati sendiri. Namun begitu, pendapat daripada orang lain juga perlu diambil kira dan ini barulah dikatakan sebagai manusia yang mempunyai kebolehan mentaakul dan celek akal.
            Kehidupan manusia tidak boleh lari dari segala yang dijelaskan tadi. Setiap ciri yang dibincangkan melalui pendapat Gibson dan Mitchell dalam buku “Introduction to Counseling and Guidance” jelas menunjukkan bahawa perkhidmatan menolong ini mempengaruhi segala aspek dan tindakan yang dilakukan oleh manusia. Terbuktilah bahawa manusia sememangnya unik dan memerlukan bantuan daripada orang lain untuk mengembangkan potensinya.

-Muhammad Ilyas bin Zambri- (Cr. GIK)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...