Thursday, December 20, 2012

PEMBENTUKAN TINGKAH LAKU SOSIAL INDIVIDU DALAM SITUASI SOSIAL DAN IMPLIKASI TINGKAH LAKU SOSIAL KEPADA TUGAS KAUNSELING




            Pembentukan tingkah laku sosial individu bermula sejak dari kecil iaitu bermula dari zaman kelahiran sehingga kematian yang mana pembentukan tingkah laku ini dipengaruhi oleh pelbagai situasi sosial. Pembentukan tingkah laku sosial individu ini boleh dipelajari melalui pengalaman-pengalaman sosialis sikap iaitu melalui situasi sosial seperti keluarga, saudara mara, media massa, rakan, guru, masyarakat, dan lain-lain.
            Lazimnya, pembentukan tingkah laku sosial individu ini boleh dipelajari melalui pengalaman sesuai dengan teori yang dipelopori oleh Ivan Pavlov iaitu pelaziman klasik. Teori ini menegaskan bahawa sesuatu tingkah laku boleh dipelajari dengan adanya rangsangan dan tingkah laku akan terbentuk sebagai gerakbalas bagi rangsangan yang diberikan. Tingkah laku yang dibentuk boleh menjadi adaptif atau maladaptif bergantung kepada rangsangan yang diberikan.
            B.F. Skinner juga berpendapat bahawa pembentukan tingkah laku individu dalam situasi sosial boleh dibentuk sesuai dengan teorinya iaitu pelaziman operan. Teori ini menjelaskan bahawa pembentukan tingkah laku itu dipengaruhi oleh peneguhan (ganjaran). Ganjaran yang diberikan akan membuatkan gerak balas kepada pembentukan tingkah laku di masa akan datang menjadi tinggi.
            Ahli falsafah Yunani Alcmaeon, Empedocles dan Democritus pada abad ke-4 & ke-5 sebelum masihi telah mencadangkan satu teori yang menunjukkan bahawa pembentukan tingkah laku individu dalam situasi sosial boleh di tiru dan mereka menamakan teori ini sebagai teori salinan. Ketiga-tiga teori ini menunjukkan bahawa pembentukan tingkah laku boleh dipelajari melalui proses pembelajaran.
Pembentukan tingkah laku mestilah selari dengan sikap supaya sesuatu perbuatan itu menjadi munasabah. Namun begitu, terdapat juga beberapa situasi yang tidak selari dengan sikap iaitu sikap kita bersaing antara satu sama lain, kita berasa tidak mampu untuk mengawal tingkah laku, kita berasa tidak mempunyai pilihan lain, terdapat norma sosial menyatakan bagaimana harus bertingkah laku dalam keadaan tertentu, kesan-kesan daripada tingkah laku negatif dan kita bertindak berdasarkan tekanan kebiasaan.
Jelasnya, keadaan ini mendatangkan implikasi tingkah laku soial kepada tugas kaunseling antaranya kajian semula kepada tugas kaunseling, mendidik idea kaunseling kepada masyarakat, mengadakan kempen kesedaran, melaksanakan penerbitan bagi tujuan rujukan dan pembacaan, menjadikan seorang kaunselor lebih professional dan berkesan, sentiasa mengambil tahu keadaan semasa dan menawarkan perkhidmatan intervensi apabila diperlukan.
            Kesannya, pembentukan tingkah laku sosial akan membuatkan perubahan kepada norma masyarakat sekaligus mendatangkan implikasi kepada tugas kaunseling. Perbentukan tingkah laku yang maladaptif akan mewujudkan masalah sosial dalam masyarakat. Keadaan ini mendatangkan kesan kepada tugas kaunseling yang mana kaunselor perlu membantu individu berubah kepada tingkah laku yang lebih baik bagi mengelakkan masalah sosial berlaku.
            Pembentukan tingkah laku sosial individu dalam situasi sosial boleh dilihat dalam pelbagai isu antaranya isu bunuh diri. Mengikut statistik di Malaysia, purata 6 orang bunuh diri setiap hari, 2500 orang setiap tahun dan 50,000 kes cuba bunuh diri setiap tahun. Manakala statistik dunia pula menunjukkan bahawa hampir satu juta orang yang meninggal akibat bunuh diri dan masalah ini sering dilakukan oleh kaum wanita.
            Laporan akhbar Kosmo pada 21 November 2008 bertajuk “Mahu gadai nyawa demi Fadhil – Gadis cuba terjun dari bumbung hotel sebab ada masalah dengan kekasih”. Gadis yang bernama Sya ini tekad mahu membunuh diri jika tidak dapat bersama kekasihnya Fadhil. Kejadian ini berlaku di Kuala Terengganu.
            Dua hari selepas itu, laporan akhbar yang sama pada 23 November 2008 memaparkan cubaan bunuh diri seorang wanita yang mengalami masalah rumah tangga yang mana beliau merupakan isteri kedua dan dijangkakan akan bermadu lagi. Kejadian ini berlaku di Kuala Berang.
            Peristiwa cubaan membunuh diri ini tidak hanya berlaku pada kaum wanita. Buktinya, pada 9 April 2008 di akhbar kosmo melaporkan kejadian cubaan membunuh diri seorang lelaki berusia awal 20-an di Genting Highlands. Lelaki terbabit telah terjun keluar dari kereta kebel yang dinaikinya namun terselamat kerana jatuh di jaring keselamatan.
        Isu membunuh diri bukan sahaja wujud di Malaysia malah di seluruh dunia. Contohnya, Kementerian Pertahanan Rejim Zionis Israel melaporkan bahawa bilangan tentera yang mati membunuh diri adalah lebih ramai berbanding dengan bilangan tentera yang terkorban dalam peperangan.
            Namun begitu, disebalik kerisauan masyarakat dunia terhadap tingkah laku membunuh diri ini ada pula pihak yang menawarkan perkhidmatan kaunseling bunuh diri. Peristiwa ini berlaku di Eropah di mana kaunselor Roger Kusch memberikan perkhidmatan membunuh diri secara terancang dengan mengenakan bayaran sebanyak 8,000 euro (RM 38,867) setiap kes yang dibantu. Roger Kusch berpendapat bahawa perkhidmatan ini perlu kerana permintaan masyarakat terutama golongan tua terhadapnya. Perkhidmatan ini sememangnya salah dari segi etika kaunseling dan telah diharamkan oleh Parlimen Jerman.
            Kesimpulannya, tingkah laku yang baik perlu diamalkan supaya menjadi ikutan kepada ahli masyarakat yang lain dan tingkah laku yang kurang baik perlu diperbaiki sesuai dengan tuntutan agama dan norma masyarakat setempat. Pembentukan tingkah laku yang baik perlulah dimulakan dari peringkat kanak-kanak lagi agar kualitinya nanti terjamin.

-Muhammad Ilyas bin Zambri- (Cr. GIK)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...